Monday, 8 February 2016

Faktor-faktor yang menyebabkan teater bangsawan popular.

              Teater bangsawan merupakan satu pementasan teater tradisional yang menekankan gaya bahasa , cara percakapan dan gerak laku yang digayakan .Teater ini lain dari teater moden yang lebih berbentuk kepada realisme. Bangsawan ialah sebuah teater yang mendramakan kisah seorang wira atau wirawati. Sejak teater bangsawan bertapak di Malaysia pada tahun 1880-an,wujudlah sesuatu kegiatan teater yang kemudiannya menjadi sangat popular dan memonopoli kegiatan teater Malaysia selama lebih 70 tahun.Bangsawan bermula di Pulau Pinang, lalu berkembang ke seluruh Malaysia hingga ke Indonesia.
                Asal mula bangsawan sebenarnya bukanlah dari Malaysia, sebaliknya bangsawan lahir daripada pengkuburan sebuah teater bergerak dari India. Dalam tahun 1870-an, Pulau Pinang telah meneriam pengaruh sebuah pementasan teater bergerak bernama Wayang Parsi atau Mendu. Kumpulan ini melakonkan cerita-cerita dengan mengunakan Bahasa Hindi dan dilakonkan oleh pelakon lelaki dan wanita yang didatangkan dari India . Wayang Parsi ini kemudian diambil alih oleh tuan dari kalangan Jawi Pekan tempatan bernama Mohamed Pusi pada tahun 1884 dan diberikan nama wayang Bangsawan. Nama kumpulan bangsawan pertama ialah Pusi Indera Bangsawan of Penang  yang bergiat pada tahun 1885 dan menggunakan Bahasa Melayu. Kumpulan ini bergerak ke seluruh tanah air hingga ke Sumatera. Di Kuala Lumpur, tapak Sungei Wang Plaza dahulunya merupakan tempat bangsawan dipentaskan dan dikenali sebagai Happy World. Kumpulan-kumpulan yang telah bergiat cergas sejak kumpulan pertama terlalu banyak jumlahnya. Kumpulan yang lebih lama bergiat adalah seperti Nahar Bangsawan Malaysia Opera, Kinta Opera, Indera Bangsawan of Penang, City Opera, Penisular Opera, Seri Permata Opera, Jaya Opera, Zanzibar Bangsawan, Dean Union Opera, Gray Opera, Indera Permata of Selangor,Constantinople Opera, Rahman Opera, Kencana Wati Opera, Bangsawan Jenaka Melayu dan Bolera Opera. Jadi , Apakah yang menyebabkan teater bangsawan popular?
 
                Antara factor yang menyebabkan teater bangsawan ini popular ialah teater bangsawan menpunyai sifat terpenting dalam drama-drama tradisional iaitu improvisasi. Improvisasi ialah cara persembahan drama yang dilakukan tanpa berdasarkan kepada naskhah bertulis, sebaliknya hanya berdasarkan kepada rangka dasar (tema dan plot dasar) sesebuah cerita sahaja. Pengembangan cerita dari tema dan plot dasar itu, termasuk dialog dan lakonan adalah hasil kreativiti pelakon dan pengarah. Sifat improvisasi ini menyebabkan drama-drama tradisional tidak pernah melahirkan naskhah bertulis dan ia memang tidak memerlukan naskhah bertulis kerana konsep drama itu sendiri bukanlah untuk dibaca, tetapi untuk ditonton dan didengar. Improvisasi dalam bangsawan merangkumi semua aspek lakonan : mental , fizikal ,dan lisan.Aspek fizikal meliputi pergerakan , gerak isyarat , bisnes pentas ,gerak tari,mima,persilatan dan adegan lasak. Aspek lisan dari segi pengucapan dialog,nyanyian ,bernasib ,berbalas pantun ,bersyair ,monolog,soliloki dan bisik-kuat. Dari segi mental menjurus kepada setiap lakuan yang dicetuskan pada detik-detik itu sama ada fizikal, lisan atau emotional. Segala lakuan improvisasi yang dihasilkan ini bertitik tolak daripada scenario yang dibekalkan oleh pengarah. Para pelakon akan mengimprovisasi scenario dan watak yang dipegangnya hingga ke akhir cerita. Dalam bangsawan , para pelakon bukan sahaja menjadi pelakon malah juga menjadi penulis skrip yang dihasilkan bukan melalui tulisan tetapi perlakuan aksi pada saat-saat itu. Jadi , para pelakon tidak perlu menghabiskan berjam-jam lamanya menghafal dialog dan apabila masa tiba waktunya mereka akan menampilkan diri mereka di atas pentas lantas mengimprovisasikannya berdasarkan watak , cerita dan adegan.Improvisasi berkaitan dengan kecerdasan mental yang ada pada pelakon , jadi, para pelakon bangsawan harus peka dengan penontonnya.
             Faktor seterusnya ialah cerita-cerita yang dipersembahkan didominasi oleh unsur-unsur dongeng dan khayal, struktur plot cerita-cerita tersebut bersifat episodik.  Penggunaan puisi lama dan bahasa berirama juga digunakan dalam bangsawan. Lakonannya dilakukan secara stylize (tidak bersahaja) dan persembahannya dimulakan dengan upacara pembukaan yang agak ritualistik, dan menggabungkan unsur-unsur muzik, nyanyi, tari (termasuk silat) dan jenaka. Walaupun dalam aspek-aspek tersebut bangsawan masih meneruskan ciri-ciri teater tradisional dan kerana itu dapat digolongkan sebagai satu daripada bentuk teater tradisional, tetapi dalam beberapa aspek yang lain ia telah membawa beberapa pembaharuan yang penting dalam perkembangan drama Malaysia, hingga tidak tepat lagi kalau hendak kita golongkan sebagai teater tradisional. Inilah keistimewaan yang menjadikan teater bangsawan popular.